AL-KISAH ALOR GAJAH 

           Nama Alor Gajah berpunca daripada tabiat sekumpulan gajah liar yang kononnya diketua oleh seekor gajah putih. Gajah berkenaan dilihat sangat gemar berjalan secara berkumpulan mengikut alur sebatang sungai yang terdapat di bandar ini. Atas keadaan itu penduduk tempatan menamakan bandar ini sebagai Alor Gajah. Menurut Ketua Kampung Pekan Alor Gajah iaitu Tuan Baharuddin Mohd Tahir mengenai asal usul Alor Gajah, pada awalnya Alor Gajah adalah hutan. Dalam kurun ke-1500, apabila Portugis menyerang Melaka, Sultan Mahmud Shah lari ke Johor melalui Tangkak, Johor. Orang-orang lain pindah dari Melaka dan tiba di satu kawasan lebih kurang 2 kilometer selepas tapak pekan Alor Gajah. Tempat baru yang mereka tiba dikenali sebagai Melaka Pindah. Mereka menggunakan kuda untuk perjalanan mereka. Untuk mengangkut barang-barang, mereka menggunakan gajah. Akibat dilalui gajah-gajah, sebahagian hutan tersebut menjadi laluan atau alur yang dipanggil 'Alor Gajah'. Beberapa keluarga yang datang dari Melaka membuat rumah di laluan tersebut sebelum sampai di Kampung Melaka Pindah. Nama perkampungan ini menjadi Kampung Baru Alor Gajah. Sebelum tiba di Alor Gajah, terdapat satu kampung bernama Solok Gajah Mati, Mukim Sungai Petai yang mana di situlah gajah-gajah yang tua dilepaskan dan mati.

         Selain itu, ada juga sejarah mengatakan Alor Gajah pada mulanya didiami oleh orang Minangkabau pada kurun ke-12. Apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai penduduk Minangkabau ke bandar Tampin semasa pemerintahan Kesultanan Melayu maka wujudlah pemerintahan Melayu di Bandar Alor Gajah. Ada juga kisah mengatakan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu seorang pegawai British telah ditempatkan di Alor Gajah bagi mengutip hasil. Sesuai dengan peranan dan tanggungjawab tersebut, Pejabat Daerah telah ditubuhkan agar perlaksaan tugas dapat dijalankan dengan sempurna. Alor Gajah juga terkenal dengan pahlawan Naning iaitu Dato' Dol Said yang menentang British dalam Perang Naning pada tahun 1832 di mana kawasan tersebut ialah hutan yang dipercayai menjadi laluan gajah-gajah liar. Untuk pengetahuan tambahan, menurut Tuan Haji Kassim, seorang bekas Pegawai Penempatan Pejabat Daerah, Alor Gajah, ada seorang askar Belanda yang terbunuh semasa berperang dengan pahlawan tempatan di hutan Alor Gajah. Kuda dan anjingnya menunggu dengan setia sebelah mayat askar itu selama beberapa hari sehingga turut mati bersama. Untuk mengenangkan kesetiaan kuda dan anjing tersebut bangkai haiwan tersebut telah dikuburkan sebelah kubur askar itu. Sempena kesetiaan binatang itu kepada tuannya, tempat ini telah dinamakan 'Allgeah' , yang lama kelamaan bertukar menjadi 'Alor Gajah'. Kubur-kubur itu masih wujud dan terletak di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Alor Gajah 1. 'Alligeah' ialah satu perkataan Belanda yang memberi makna kesetiaan dan dalam bahasa Inggeris bermaksud 'Allegiance' .

 

Gajah putih yang dikaitkan dengan sejarah asal nama Alor Gajah

Dataran keris Alor Gajah menjadi tumpuan utama orang ramai untuk
berkumpul atau terdapat acara-acara besar di Bandar Alor Gajah
 

*Rujukan -  The Consice Oxford Dictionary, Oxford University Press, 1974 ; Family Word Finder, Reader's Digest, 1975 ; MPAG-Sejarah Alor Gajah

 

Tarikh dikemaskini : 31 Mei 2015